Arsip Blog

Jumat, 12 Desember 2008

Mata Allah





1. "Mata" Allah Dari Pandangan Mazhab Khalifah

Dalam kitab-kitab tafsir dan hadith, ulama dari mazhab di atas meriwayatkan dari Abu Hurairah, berkata:

"Apabila Nabi SAWAW membaca ayat berikut:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (An-Nisa: 58)

"Aku melihat Nabi SAWAW menggambarkan sifat mendengar dan melihat Allah dengan meletakkan ibu jari di telinga dan jari tunjuk di matanya."

Apabila Abu Hurairah meriwayatkan hadith di atas, beliau sering mengulangi bagaimana yang ditunjukkan itu dengan meletakkan jari-jarinya sendiri pada mata dan telinga. Beliau melakukan ini untuk menunjukkan Allah mendengar dengan telinga dan melihat dengan mata.

"Jahmiyyah" adalah satu mazhab yang menolak pengertian seperti itu. Abu Daud ketika menolak aqidah puak Jahmiyyah itu menyatakan:

"Hadith Abu Hurairah yang diriwayatkan itu dengan jelas menolak aqidah Jahmiyyah (yang percaya Allah tidak mempunyai anggota atau tubuh badan.)"

Penjelasan Abu Hurairah itu menyebabkan mazhab khalifah percaya perkataan "Ayn" dalam al-Qur'an yang dikaitkan dengan Allah, hendaklah difahami bahawa maksudnya ialah mata sebenar iaitu sebahagian daripada anggota pada tubuh yang menjadi alat untuk melihat. Justeru, kita dapati Ibn Khuzaimah yang menjadi imam kepada imam-imam seperti mana yang didakwa oleh mazhab mereka, menulis satu bab dalam kitabnya Tawhid,"untuk membuktikan Allah SWT mempunyai mata." Beliau menulis:

"Kami menjelaskan apa yang Allah berkata tentang diriNya dalam kitabNya dan apa yang telah dikatakan oleh Nabi SAWAW memperkuatkan dalil bahawa Allah mempunyai mata."

Beliau meneruskan hujah-hujahnya dengan memetik ayat-ayat berikut:

1. (Allah SWT berfirman kepada Nabi Nuh AS)"Dan buatlah bahtera itu dengan (di bawah) mata Kami." (Hud: 37).

2. "Yang belajar dengan (di bawah) mata Kami (tajri-bi-'aiyunina)."(al-Qamar: 14).

3. "Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang daripadaKu dan supaya kamu diasuh di bawah mataKu (wa-li-tus-na-'a ala-'aini)." (Taha: 39)

4. "Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Tuhanmu, maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan Kami." (at-Tur: 48)

Ibn Khuzaimah berkata:

"Berdasarkan ayat-ayat ini, maka adalah wajib bagi setiap mukmin untuk menyakini aqidah bahawa Allah mempunyai mata, dan Dia telah mengesahkan untuk diriNya."[1]

"Dan barang siapa yang tidak mempercayai Allah telah mewahyukan dalam KitabNya dan apa yang Ia nyatakan tentang DiriNya, maka orang itu bukan seorang muslim. Maksud ayat Qur'an telah menunjukkan bukti yang terang yang telah digambarkan oleh Nabi SAWAW sendiri, sebagaimana Allah telah memerintahkannya dalam Qur'an:

"Kami turunkan kepadamu al-Qur'an agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan."(An-Nahl: 44)

"Nabi SAWAW dalam tafsirannya telah menjelaskan dengan terang-benderang bahawa Allah mempunyai sepasang mata! Penjelasan Nabi itu selaras dengan teks al-Qur'an, Qur'an yang sama yang dalam bentuk kitab di antara dua kulit kitab, dan dibaca di masjid-masjid dan di pusat-pusat pengajian."

Tidak puas dengan hujah di atas, beliau memetik hadith-hadith, di antaranya dari riwayat Abu Hurairah. Akhirnya, beliau meriwayatkan hadith daripada Abdullah bin Umar:

"Nabi SAWAW bersabda:

"Allah tidak buta satu mata seperti Dajjal yang tidak mempunyai mata kanan. Ia terapung seperti buah anggur."

2. "Mata" Menurut Pandangan Ahlul Bait AS:

Imam-imam Ahlul Bait AS telah menerangkan maksud sebenar dalam ayat-ayat tersebut. Walau bagaimanapun, kita akan membahaskan perkara tersebut dengan terperinci seperti berikut:

Ibn Khuzaimah telah mengambil perkataaan "Ayn" atau " 'ayunina" secara literal, untuk menbuktikan hujahnya bahawa Allah SWT mempunyai mata. Pada hakikatnya perkataan "Ayn" dan kata terbitannya mempunyai banyak makna dalam Bahasa Arab. Rujukan lanjut bolehlah dibuat dengan mengkaji kitab-kitab bahasa arab seperti,"Lisanul Arab." Dalam Mu'jamul Udaba (2/11) kami dapati seorang ahli gaya bahasa Arab Ibn Faris Ahmed b. Zakariyya (w.369H) telah mengumpulkan setiap bait (rangkap) perkataan yang berakhir dengan kata"Ayn", setiap satu mempunyai makna yang berbeza. Syed Muhsin al-Ameen telah menuliskan enam puluh bait.

Al-Qur'an telah menggunakan perkataan tersebut dengan dua kaedah dan makna iaitu secara literal dan metapora. Pada dua puluh satu tempat, al-Qur'an menggunakan "Ayn" untuk menunjukkan mata air atau air sungai.

Tetapi yang lebih penting adalah ayat yang dipetik oleh Ibn Khuzaimah untuk mengukuhkan aqidahnya pada hakikatnya mempunyai makna figuratif. Dalam Bahasa Inggeris kita katakan:"to keep an eye on" bermaksud untuk mengawasi;"in the eyes of law", bermaksud "dari segi undang-undang";"the eye of a dome", bermaksud bahagian tengah dan seterusnya. Amat jelas bahawa penggunaan kata-kata itu tidak membawa maknanya secara literal. Begitu juga kata-kata ini telah digunakan untuk maksud secara metapora (kiasan).

Dalam Majma al-Lughat al-Arabiyyah yang dicetak di Mesir, kami dapati:

"Dalam al-Qur'an perkataan "Ayn" telah digunakan dalam dua bentuk sama ada secara aktual atau metapora (kiasan). Sebagai contoh:

i) "Dan berkatalah isteri Fir'aun:"(Ia) biji mata bagiku dan bagimu." (al-Qasas: 9)

ii) "Maka makan, minum dan sejukkan matamu…"(Fa kuli was-rabi wa-qarri 'aina). (Maryam: 26)

Dengan ini terbukti bahawa ayat-ayat yang menggunakan perkataan "Ayna" dan "Aynin" menggambarkan kegembiraan dan kepuasan hati (bukan maknanya secara literal seperti 'ia biji mataku' atau 'sejukkan matamu').

Sejarah menjelaskan kepada kita bahawa Allah memerintahkan ibu Nabi Musa AS mencampakkannya ke dalam sungai. Ketika itu Nabi Musa AS masih lagi bayi kemudian dibawa arus sungai tersebut dan sampai ke istana Fir'aun. Nabi Musa AS kemudian dipelihara oleh Fir'aun sebagai anak angkat. Kisah lengkap tersebut diceritakan dalam al-Qur'an seperti berikut:

" Dan berkatalah isteri Fir'aun:"(Ia) biji mata bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan ia bermanfa'at kepada kita atau kita ambil ia menjadi anak," sedang mereka tidak menyedari." (al-Qasas: 9)

Pada contoh kedua, ayat tersebut mengaitkan dengan kisah Maryam, ibu kepada Nabi Isa AS. Ketika ia melahirkan Nabi Isa AS, beliau mengeluh kerana beliau tahu orang ramai tidak akan percaya beliau seorang wanita suci, dan Nabi Isa AS dilahirkan tanpa bapa dengan perintah Allah SWT. Maka Allah berfirman:

"Maka makan, minum dan sejukkan matamu (bersenang hatilah) kamu. Jika kamu melihat seseorang manusia, maka katakanlah:"Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seseorang manusiapun pada hari ini." (Maryam: 26)

Sekarang ayat-ayat yang dipetik oleh Ibn Khuzaimah memerlukan analisa lanjut. Ayat pertama, ditujukan kepada Nabi Nuh AS. Maksud sebenarnya ialah:

"Dan buatlah bahtera itu dengan dibawah mata (pengawasan) Kami."

Ayat kedua juga bermaksud bahtera Nabi Nuh AS belayar di bawah pemeliharaan dan pengawasan Allah SWT.

Pada ayat ketiga, Allah mewahyukan kepada Nabi Musa AS: Pengertian sebenar ayat ini ialah:

"Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang daripadaKu dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasan dan perlindunganKu."

Pada ayat terakhir, Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Muhamamd SAWAW: Maksud ayat tersebut ialah:

"(Wahai Nabi) - Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Tuhanmu, maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan (pengawasan) Kami."

Akhir sekali, hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Omar menekankan bahawa Allah SWT tidak buta seperti Dajjal. Nampaknya ia memberikan petanda kepada kita bahawa dia mahukan kita mempercayai Allah mempunyai sepasang mata yang sihat dan tidak rosak (buta)! Namun berdasarkan penjelasan kami yang terang benderang di atas, maka dapatkan kita nilaikan tentang kesahihan hadith tersebut! Kami telah pun menekankan tentang kepalsuan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan teman-teman sealiran dengannya, dan bagaimana mereka kekal dipengaruhi oleh ajaran Yahudi dan Kristian. Ajaran Islam yang murni telah dicemarkan oleh riwayat-riwayat yang menerima sisipan cerita-cerita dalam Taurat yang tercemar dan lain-lain sumber bukan Islam.

Tidak ada komentar: